|
SERBA SEDIKIT
MENGENAI NABI MUHAMMAD S.A.W.
Nabi Muhammad s.a.w (محمد) adalah pesuruh Allah yang terakhir.
Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan
Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad
s.a.w. merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda
bukan sahaja berfungsi sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai
pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai. Nabi Muhammad
s.a.w. dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah.
Walaupun diketahui bahawa Nabi Muhammad s.a.w. merupakan rasul dan
nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang
Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Nabi Muhammad s.a.w. sebagai
nabi dan rasul. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pelengkap ajaran
Islam setelah Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s.
Kelahiran
Muhammad s.a.w telah diputerakan di Mekah, Arab Saudi pada hari
Isnin, 12 Rabiulawal (2 Ogos 570M). Ibunya, Aminah, adalah anak
perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya,
Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur
galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan
keempat puluh.
Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya
meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya
seorang anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda
telah dipelihara oleh seorang ibu angkat yang bernama Halimahtus
Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun.
Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Mekah untuk
mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh
datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga
oleh pakciknya, Abu Talib. Ketika inilah baginda diminta mengembala
kambing-kambingnya sekitar Mekah dan kerap menemani pakciknya dalam
urusan dagangnya ke Syam.
Masa
remaja
Dalam masa remajanya, Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan
Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci
sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang
miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan
mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari
semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia
pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan
kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq
(yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai
sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung
halamannya di Mekah.
Berumahtangga
Ketika berusia kira-kira 25 tahun, pakciknya menyarankan baginda
untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki
oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja
dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda
mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan
keuntungan luar biasa.
Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang
mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda.
Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia.
Mereka dikurniakan 6 orang anak (2 lelaki dan 4 perempuan) tetapi
kedua-dua anak lelaki mereka, Qasim dan Abdullah meninggal semasa
kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu
Kalsum dan Fatimah az-Zahra. Khadijah merupakan satu-satunya
isterinya sehinggalah beliau meninggal pada usia 51 tahun.
Kerasulan
Muhammad s.a.w. telah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat
jahiliyah. Ia sungguh menyedihkan hatinya sehingga beliau kerapkali
ke Gua Hira', sebuah gua bukit dekat Mekah, yang kemudian dikenali
sebgai Jabal An Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala
yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir
dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya memusnahkan kedurjanaan
yang kian berleluasa.
Pada suatu malam, ketika baginda sedang bertafakur di Gua Hira',
Malaikat Jibril mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan
menyampaikan wahyu Allah di telinganya. Baginda diminta membaca.
Baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca". Jibril mengulangi tiga
kali meminta Muhammad untuk membaca tetapi jawapan baginda tetap
sama. Akhirnya, Jibril berkata:
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari
segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang
mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia
mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Ini merupakan wahyu pertama yang diterima oleh Muhammad. Ketika itu
baginda berusia 40 tahun. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa
ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah
diturunkan menurut panduan yang diberikan Rasulullah s.a.w. dan
dikumpulkan dalam buku bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran
(bacaan). Kebanyakkan ayat-ayatnya mempunyai erti yang jelas.
Sebahagiannya diterjemah dan dihubungkan dengan ayat-ayat yang lain.
Sebahagiannya pula diterjemah oleh Rasulullah sendiri melalui
percakapannya, tindakan dan persetujuan yang terkenal, dengan nama
Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi
panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.
Cabaran-cabaran
Apabila Rasulullah s.a.w. menyeru manusia ke jalan Allah, tidak
ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakkannya adalah dari para
anggota keluarganya dan dari golongan masyarakat bawahan, Antara
mereka ialah Khadijah, Ali, Zayd dan Bilal. Apabila baginda
memperhebat kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka
agama Islam yang disebarkannya, dengan itu ramai yang mengikutnya.
Tetapi pada masa, baginda menghadapi berbagai cabaran dari kalangan
bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam.
Mereka bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka.
Semangat penganut Islam meningkat apabila sekumpulan kecil
masyarakat yang dihormati di Mekah menganut agama Islam. Antara
mereka ialah Abu Bakar, Uthman bin Afan, Zubair bin Al Awwam, Abdul
Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail dan ramai lagi.
Akibat cabaran dari masyarakat jahiliyah di Mekah, sebahagian orang
Islam disiksa, dianiaya, disingkir dan dipulaukan. Baginda terpaksa
bersabar dan mencari perlindungan untuk pengikutnya. Baginda meminta
Negus Raja Habsyah, untuk membenarkan orang-orang Islam berhijrah ke
negaranya. Negus mengalu-alaukan ketibaan mereka dan tidak
membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Mekah.
Hijrah
Di Mekah terdapat Kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s.
beberapa abad lalu sebagai pusat penyatuan umat untuk beribadat
kepada Allah. Sebelumnya ia dijadikan oleh masyarakat jahiliyah
sebagai tempat sembahyang selain dari Allah. Mereka datang dari
berbagai daerah Arab, mewakili berbagai suku ternama. Ziarah ke
Kaabah dijadikan mereka sebagai sebuah pesta tahunan. Orang ramai
bertemu dan berhibur dengan kegiatan-kegiatan tradisi mereka dalam
kunjungan ini. Baginda mengambil peluang ini untuk menyebarkan
Islam. Antara mereka yang tertarik dengan seruan baginda ialah
sekumpulan orang dari Yathrib. Mereka menemui Rasulullah dan
beberapa orang Islam dari Mekah di desa bernama Aqabah secara
semubunyi-sembunyi. Setelah menganut Islam, mereka bersumpah untuk
melindungi Islam, Rasulullah dan orang-orang Islam Mekah.
Tahun berikutnya, sekumpulan masyarakat Islam dari Yathrib datang
lagi ke Mekah. Mereka menemui Rasulullah di tempat yang mereka
bertemu sebelumnya. Kali ini, Abbas bin Abdul Muthalib, pakcik
baginda yang belum menganut Islam hadir dalam pertemuan itu. Mereka
mengundang baginda dan orang-orang Islam Mekah untuk berhijrah ke
Yathrib. Mereka berjanji akan melayani mereka sebagai saudara
seagama. Dialog yang memakan masa agak lama diadakan antara
mayarakat Islam Yathrib dengan pakcik Rasulullah untuk memastikan
mereka sesungguhnya berhasrat mengalu-alukan masyarakat Islam Mekah
di bandar mereka. Rasulullah akhirnya bersetuju untuk berhijrah
beramai-ramai ke bandar baru itu.
Mengetahui ramai masyarakat Islam merancang meninggalkan Mekah,
masyarakat jahiliyah Mekah cuba menghalang mereka. Namun kumpulan
pertama telahpun berjaya berhijrah ke Yathrib. Masyarakat jahiliyah
Mekah bimbang hijrah ke Yathrib akan memberi peluang kepada orang
Islam untuk mengembangkan agama mereka ke daerah-daerah yang lain.
Hampir dua bulan seluruh masyarakat Islam dari Mekah kecuali
Rasulullah, Abu Bakar, Ali dan beberapa orang yang daif, telah
berhijrah. Masyarakat Mekah kemudian memutuskan untuk membunuh
baginda. Mereka merancang namun tidak berjaya. Dengan berbagai
taktik dan rancangan yang teratur, Rasulullah akhirnya sampai dengan
selamat ke Yathrib, yang kemudian dikenali sebagai, 'Bandar
Rasulullah'.
Madinah
Di Madinah, kerajaan Islam diwujudkan di bawah pimpinan Rasulullah
s.a.w. Umat Islam bebas mengerjakan solat di Madinah. Musyrikin
Makkah mengetahui akan perkara ini kemudiannya melancarkan beberapa
serangan ke atas Madinah tetapi kesemuanya ditangkis dengan mudah
oleh umat Islam. Satu perjanjian kemudiannya dibuat dengan memihak
kepada pihak Quraish Makkah. Walau bagaimanapun perjanjian itu
dicabuli oleh mereka dengan menyerang sekutu umat Islam. Orang
Muslim pada ketika ini menjadi semakin kuat telah membuat keputusan
untuk menyerang musyrikin Makkah memandangkan perjanjian telah
dicabuli.
Pembukaan Kota Makkah
Pada tahun kelapan selepas penghijrahan ke Madinah berlaku, Nabi
Muhammad s.a.w. berlepas ke Makkah. Tentera Islam yang seramai
10,000 orang tiba di Makkah dengan penuh bersemangat. Takut akan
nyawa mereka terkorban, penduduk Makkah bersetuju untuk menyerahkan
kota Makkah tanpa sebarang syarat. Nabi Muhammad s.a.w. kemudian
mengarahkan supaya kesemua berhala dan patung-patung di sekeliling
Kaabah dimusnahkan.
Kronologi Perkembangan Islam
570M- Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan.
610M- Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu pertama di Gua Hira'.
615M- Orang Muslim didera oleh puak Quraish. hijrah pertama ke
Habsyah.
616M- Saidina Hamzah dan Saidina Umar memeluk Islam. Hijrah kedua ke
Habsyah.
619M- Khadijah (isteri nabi) dan Abu Talib (bapa saudara nabi)
meninggal dunia. Melawat Taif. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku.
621M- Perjanjian Aqabah pertama.
622M- Perjanjian Aqabah kedua. Hijrah ke Madinah.
624M- Perang Badar.
625M- Perang Uhud.
627M- Perang Khandak.
628M- Perjanjian Hudaybiyah.
629M- Perang Khaybar.
630M- Pembukaan Kota Makkah. Perang Hunain.
631M- Perang Tabuk.
632M- Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Perlantikan Saidina Abu Bakar
sebagai khalifah. |